Awal pernikahan: Antara realiti dan fantasi
Lima tahun pertama usia perkahwinan, sering dikatakan sebagai tempoh
ujian. Tempoh ini dikaitkan sebagai fasa untuk sesi kenal mengenal hati budi
sebenar antara pasangan. Walaupun pasangan sudah saling berkenalan dalam
tempoh yang lama sebelum berkahwin, tetapi itu belum menjamin yang mereka
benar-benar sudah mengenali pasangan mereka. Apa lagi bagi yang kenal dalam
tempoh yang singkat ataupun belum berkenalan langsung.
Setiap pasangan mempunyai impian tersendiri apabila mereka berkahwin
kelak. Walaupun kadang-kadang impian itu telah dinyatakan sebelum ijab kabul dilafazkan,
namun realiti selepas berkahwin kelak seringnya berubah. Tidak semua yang indah-indah
seperti diimpikan sebelum berumah tangga bakal menjadi kenyataan.
Inilah yang berlaku pada pasangan Mustafa dan Atiqah (bukan nama sebenar).
Di zaman gadisnya, Atiqah sering berharap untuk menjadi seorang isteri yang
taat dan sering mengukir senyuman buat suaminya. Dia yakin, dengan menjadi
isteri yang solehah dan menggembirakan suami, dia sudah dapat menduduki
salah satu tempat di syurga. "Tidak perlu susah-susah bagi seorang wanita
mencari syurga Allah," begitulah yang kerap terlintas di hatinya.
Sebenarnya Atiqah bukanlah seorang yang kuat imannya. Dia bersembahyang
kerana keluarga, rakan-rakan dan rutin. Tetapi ketika menuntut di institusi
pengajian tinggi dan berkat berkawan dengan teman-teman yang kuat pegangan
agamanya, Atiqah jadi terikut-ikut dengan cara hidup mereka. Dia juga mula
mendekatkan diri kepada agama. Dan antaranya dia banyak mendalami hal-hal
yang berkaitan dengan perkahwinan.
"Jika manusia boleh menyembah manusia selain-Nya, maka aku perintahkan
isteri menyembah suaminya." (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmidzi,
Ibnu Majah dan Ibnu Hibbin). Ternyata Atiqah begitu senang dan berpegang
kuat pada hadis ini.
Akhirnya Atiqah bertemu jodoh dengan Mustafa yang juga kuat dengan
pegangan agamanya. Seperti Atiqah, Mustafa juga mengenali Islam ketika
berada di kampus. Dia juga berhasrat untuk membina rumah tangga yang
bahagia. Pilihannya, pasti seorang wanita solehah yang menyejukkan hati dan
mata.
Jejak Rasulullah
Mustafa pernah membayangkan, alangkah bahagianya menjadi seorang suami
yang kuat peribadinya dan mampu membimbing orang lain, terutama isteri dan
anak-anak. Dia teringat pesan Rasulullah, "Hanya lelaki yang mulia saja akan
memuliakan wanita." Lalu dia bercita-cita mengikut jejak Rasulullah yang
begitu sayang dan lemah-lembut pada isteri. Tidak merasa rendah diri apabila
membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah.
Perkahwinan Mustafa dan Atiqah terus berlalu, hari demi hari, minggu demi
minggu dan bulan demi bulan. Biarpun berusaha menghidupkan rumah tangga
Muslim, namun kenyataan terpaksa juga dilalui. Perbezaan keperibadian,
perasaan, pembawaan, selera, kegemaran, cara hidup yang terbina daripada
latar belakang keluarga dan pendidikan yang berbeza, ternyata tidak mudah
disatukan.
Jika sebelum berkahwin semua itu dikatakan mudah diselesaikan melalui
pemahaman agama, ternyata lambat laun ada juga perselisihan. Perselisihan
memang tidak dapat dielakkan dalam rumah tangga. Apa lagi, jika pasangan
suami isteri tidak menyedari bahawa syaitan sentiasa berusaha untuk
menjahanamkan anak Adam.
Begitulah halnya dengan perkahwinan Mustafa dan Atiqah. Segala yang
dibayangkan tidak seindah realiti. Mustafa mula mengeluh. Ternyata isterinya
tidak seperti yang diimpikan. Begitu juga Atiqah, mula mengeluh terhadap
Mustafa yang dianggap terlalu dimanjakan oleh orang tuanya dahulu. Apa lagi,
Mustafa terlalu berhati-hati dalam soal kewangan.
Atiqah mula berasa kesal kerana tidak mahu bekerja dahulu sebaik tamat
kuliah. Niatnya waktu itu ialah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada
suami dan rumah tangga dan mencapai impian menjadi wanita solehah. Atiqah
berasa dirinya tidak dihargai.
Sikap semula jadi Mustafa yang dingin dan tidak banyak cakap, mula
dirasakan sesuatu yang menyakitkan. Manakan tidak, sepanjang hari suaminya
sibuk bekerja, waktu malam banyak menghabiskan masa dengan jemaah di masjid.
Begitu juga hari minggu, jarang berada di rumah kerana sibuk dengan aktiviti
kemasyarakatan.
Sebaliknya Mustafa pula merasakan, Atiqah tidak ikhlas dan meragui
kejujurannya sebagai seorang suami. Bagi Mustafa, Atiqah tidak sepatutnya
meragui kejujurannya kerana dia sentiasa jujur dan apa yang dilakukannya
adalah bagi mendapat keredaan Allah. Baginya dia tidak perlu menyatakan yang
dirinya seorang yang jujur dan penyayang. Dia mengharapkan pengertian Atiqah
sepenuhnya.
Tidak dinafikan, terdapat sesetengah wanita yang sibuk dengan urusan kerja
sehingga gagal untuk mengimbangi peranannya di rumah. Hal ini menyebabkan
suami mengeluh kerana dibebani dengan tugas-tugas rumah tangga. Dan tidak
kurang juga, terdapat wanita yang apabila berkumpul bersama teman-teman
sekerja, gemar menceritakan keburukan suaminya. Kerana terlalu banyak
menceritakan kekurangan suaminya sehingga terlupa untuk melihat kebaikan dan
kelebihan suaminya.
Melindungi sikap
Ada juga sesetengah pasangan yang jika sebelum berkahwin, mereka sanggup
melindungi sikap mereka yang sebenar dengan alasan untuk mengambil hati
pasangan mereka. Tetapi setelah berkahwin, mereka gagal untuk berselindung
lagi. Maklumlah, sampai bila seseorang itu sanggup 'berlakon?'
Ada suami yang sikap semula jadinya agak dingin, tidak pandai memuji dan
bergurau senda dengan isteri. Apabila melihat kebaikan pada isterinya,
mereka akan mendiamkan diri. Sebaliknya apabila melihat kelemahan, segera
diungkit. Malah boleh dikatakan ramai lelaki yang begitu berat untuk
menuturkan kata-kata maaf pada isterinya sedangkan sebelum berkahwin tidak
pula begitu keadaannya.
Memang banyak dugaan pada pasangan suami isteri dalam berumah tangga. Dan
sudah menjadi sunnah kehidupan, bahawa akan berlaku pergeseran kecil dan
perbezaan, sepanjang menjadi suami isteri. Itulah yang dinamakan asam garam
kehidupan.
Dalam situasi begini, Mustafa dan Atiqah mempunyai kelebihan dalam
menghadapi dugaan berumah tangga kerana mereka berbekalkan pemahaman agama
dan sentiasa bergantung kepada keredaan Allah. Kelebihan ini mungkin tidak
ada pada semua pasangan.
Ada kalanya, kita memerlukan bantuan pihak ketiga dalam menyelesaikan
masalah rumah tangga, kerana 'cermin mata' yang kita pakai sudah begitu
kelabu sehingga gagal melihat semua kebaikan pasangan. Mungkin pihak ketiga
boleh membantu mencuci atau memperbaharui kaca mata kita supaya pandangan
kita kembali jelas.
Pasangan yang bijak dan tinggi pemahaman agamanya, akan mampu untuk
istiqamah dalam menjaga perkahwinan mereka dan lebih mampu menghadapi badai
yang melanda. Adalah penting, sebelum berkahwin kedua-dua pasangan berjanji
akan melengkapi antara satu sama lain, kerana manusia bukanlah makhluk
sempurna. Manusia tidak mungkin dapat menjadi isteri atau suami yang
sempurna seperti bidadari atau malaikat.
Kita harus bersedia menerima pasangan hidup seadanya, termasuk segala
kekurangannya, selama ianya tidak melanggar syariat. Kita memang berasal
daripada latar belakang keluarga, kebiasaan dan watak yang berbeza, yang
membantu watak dan persepsi hidup tersendiri. Apabila kita menerima keadaan
ini, Insya Allah kita akan mampu menghindari daripada menikah dalam ilusi
kita pada hari diijabkabulkan. Tetapi sebaliknya kita sudah menikah dengan
realiti kita.
TIPS
* Jangan samakan pasangan anda seperti diri anda.
* Jangan cuba mengubah pasangan anda menjadi seperti anda.
* Apabila anda marahkan si dia, cuba cari tiga kebaikannya.
* Jangan luahkan rasa marah ketika kemarahan anda sedang memuncak.
* Jangan berasa yang diri anda sentiasa betul.
* Jangan suka memendam perasaan, luahkan!
* Sentiasa berfikiran positif.
* Ingatlah anda kini sudah berada di alam nyata (berkahwin) bukanlah lagi fantasi (sebelum
berkahwin).
* Sebelum berkahwin anda boleh menutup mata terhadap kekurangannya,
kenapa tidak selepas berkahwin?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan