Jumaat, 28 Januari 2011

PERSIAPAN MENCAPAI KELUARGA BAHAGIA

Koleksi Tips-Tips dan Nasihat
By: Abd Aziz Abdullah

PERSIAPAN MENCAPAI KELUARGA BAHAGIA 

Allah Yang Maha Kuasa, dengan IradahNya diciptakan manusia dari satu jiwa, kemudian diciptakan pula pasangannya supaya bersemi ketenangan, kesenangan dan kedamaian. 

Allah melimpahkan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya ke lubuk jiwa manusia dengan perasaan cinta serta melimpahkan rasa kasih sayang sebagai landasan kebahagiaan keluarga dalam sebuah rumahtangga. 

Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud; "Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." 

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh- sungguh. 

Sikap berhati-hati dalam menentukan pilihan untuk pasangan hidup merupakan ciri khas dari insan budiman. Sekiranya salah membuat pilihan, beerti sepanjang hayat menanggung penyesalan. Sikap memilih dan ingin dipilih adalah hak bagi setiap manusia. Adalah tidak adil rasanya dunia ini, jika pilihan hanya dibolehkan untuk kaum lelaki. 

A. Memilih pasangan hidup Dalam kehidupan bermasyarakat, perkahwinan dan pernikahan sangat diperlukan. Tujuannya adalah untuk meneruskan kehidupan umat manusia di bumi ini. Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan. 

Dalam kehidupan bermasyarakat, seringkali kita dengar ungkapan; jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Pendapat ini baik kerana ia dapat mendidik manusia dengan sifat qana'ah (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi, ujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir, tanpa sebarang usaha. 

Beberapa pendapat tentang jodoh: 
1. Jodoh merupakan takdir semata "Jodoh di tangan Tuhan, manusia mesti menerima jodohnya, baik ataupun buruk" Pendapat ini sangat besar pengaruhnya dan berkembang luas dalam masyarakat, tapi sayang pendapat ini kurang tepat. Jika pendapat tersebut hanya bermaksud : "Jodoh di tangan tuhan maka ada kebenarannya. Tetapi ayat yang seterusnya terkeluar dari hakikat sebenar. 

Kekeliruan yang nyata sebagai bukti lemahnya pendapat itu ialah seringkali menyalahkan Tuhan bila berlaku kegagalan. Seringkali kita dengar, "Sudah takdir Tuhan, jodoh saya tak panjang." 

Daripada pendapat itu, adakah Tuhan bersalah memutuskan perhubungan hambanya? Hakikat sebenarnya, siapa yang memutuskannya. 

2. Jodoh merupakan takdir dan perlu mencari "Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus berikhtiar mencari dan memilihnya" Pendapat ini lebih baik dari pendapat pertama, walaupun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh. 

3. Wajib berikhtiar sesuai dengan ketentuan Allah "Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan" 

Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh. 

Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti : 

1. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkahwinan berlangsung atas persetujuan anak. 

2. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua. 

3. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua. 

4. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya. Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut. 

Kedua orangtua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua. Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam. Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:

i. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga
ii. Mencari nafkah yang jujur dan berhasil
iii. Pasangan ideal dalam erti kata; 
- bersikap baik terhadap isteri 
- dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat 
- menerima kekurangan dan kelemahan isteri 
- dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu 
- dapat menjaga kewibawaan isteri 
- dapat membimbing isteri ke jalan yang baik 
- dapat menghormati dan menyayangi sanak keluarga isteri
iv. Bapa yang baik dan sayang kepada anak-anak
v. Pasangan yang baik lahir dan batin 

SUAMI YANG MEMENUHI KEWAJIPAN 

A. Suami Teladan ialah: 
- Suami yang selalu mengerjakan perintah Allah dan menjauhkan laranganNya. Selalu menjaga hubungan dengan isterinya serta melaksanakan tanggungjawab sesuai dengan kemampuannya. Ia selalu berterus terang dengan isterinya. Jika ia mempunyai kekurangan, ia akan menyatakan kepada isterinya. 

- Suami yang baik, tidak menyembunyikan rahsia yang tidak di senangi isterinya. Apabila berkata-kata dengan isterinya dengan cara lembut dan bersopan santun. 

- Suami yang soleh, selalu membimbing isterinya, menghiburkan isterinya, berbincang-bincang, menghargai pandangan isterinya dan sebagainya. 

- Suami yang menganggap isterinya sebagai kekasih dan sahabat. Tidak mudah cemburu. Mempunyai keyakinan dan menaruh kepercayaan terhadap isterinya. 

- Suami yang bijaksana, suami yang sanggup menjadi pemimpin rumahtangga. Suami yang layak menjadi pemimpin sekurang-kurangnya mempunyai ciri-ciri berikut iaitu; 

1. Tubuh badan yang sempurna 
- sanggup melaksanakan tanggupjawabnya dengan kesempurnaan anggotanya. Ini bermaksud selagi mampu memenuhi keperluan zahir dan batin. 

2. Akal fikiran yang sempurna 
- berfikiran positif. 

3. Pengetahuan agama yang sempurna 
- untuk membimbing ahli keluarganya mengamalkan ajaran agama sebagai panduan hidup 

4. Membelanjakan sebahagian harta 
- mencari nafkah untuk menyara hidup ahli keluarganya 


B. Keperibadian Suami yang menjadi Impian isteri 

1. Penuh kerinduan dan kasih sayang 
2. Mencintai 
3. Gagah dan berakhlak mulia 
4. Kaya dan bijaksana 
5. Memberikan cahaya kehidupan 
6. Menegakkan kebenaran 
7. Mulia di sisi Allah 

C. Ciri-ciri Suami Teladan 
- suami yang soleh yang sentiasa menjalankan perintah Allah 
- suami yang tidak sanggup melihat isterinya meringankan perintah Allah 
- suami yang bersikap mahu memaafkan dan membetulkan kesalahan isterinya. 

1. Ciri-ciri suami yang soleh ialah: 
a. Mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan. 

b. Mendirikan rumahtangga semata-mata kerana Allah SWT 

c. Melayani dan menasihati isteri dengan sebaik-baiknya 

d. Menjaga hati dan perasaan isteri 

e. Sentiasa bertolak ansur dan tidak meminta sesuatu yang di luar kemampuan isteri 

f. Bersabar dan menghindari daripada memukul isteri dengan pukulan yang memudaratkan 

g. Jangan mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri. 

h. Bersabar dan menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka 

i. Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi suami sebagai pemimpin 

j. Memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuan 

k. Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa 

l. Bertanggungjawab mendidik akhlak keluarganya 

m. Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka 

n. Memberikan kasih sayang dan berkorban untuk kepentingan dan kebahagiaan bersama. 


B. Sikap lelaki dan wanita yang diredai Allah 
Islam menyuruh umatnya berkerjasama membina umat yang luhur. Cara yang paling utama ialah membina keluarga yang utuh. Oleh itu perkahwinan memang dituntut di dalam Islam kerana dari perkahwinan boleh melahirkan kebaikan-kebaikan dengan berlandaskan ajaran Islam. 

C. Suami yang diingini wanita 
Keseluruhannya, suami yang diingini oleh setiap wanita ialah lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. 

D. Persediaan diri untuk berkahwin 
1. Umur yang cukup dewasa. Kedewasaan bermaksud: 
- dewasa fizikal 
- dewasa intelektual, bersifat objektif terhadap diri sendiri. Ia mengakui kekurangannya, berkeinginan memeriksa motif tindakannya sendiri. 
- dewasa emosi, tahu mengawal diri ketika marah dan sebagainya 
- dewasa sosial, mempunyai hubungan kekeluargaan yang harmoni, mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di mana ia berada. 
- dewasa moral, memahami hal orang lain dan selalu mempertimbangkan akibat perbuatannya terhadap orang lain. 

Ringkasnya, umur yang sebaiknya bagi lelaki ialah antara 25 - 30 tahun dan bagi wanita ialah antara 20 - 25 tahun. Penentuan umur ini sebenarnya banyak bergantung kepada iklim dan adat istiadat sesuatu tempat. 

2. Bekal menyara hidup 

3. Mempunyai pengetahuan berumahtangga. Pengetahuan berumahtangga dianggap mudah oleh lelaki sehingga ilmu-ilmu itu biasanya tidak dipelajari. Ini hanya disedari apabila telah berumahtangga. Di sanat ini barulah diketahui banyak masalah yang perlu dihadapi. 

4. Sihat jasmani dan rohani Perkahwinan adalah percampuran lahiriah dan batiniah lelaki dan perempuan. Oleh itu keadaan kesihatan jasmani dan rohani amat diperlukan. 


E. Memilih isteri idaman Ada beberapa faktor dalam memilih isteri : 
1. Faktor keagamaan dan akhlak 
2. Faktor kecantikan dan kekayaan 
3. Faktor keturunan dan kesuburan 

Sifat-sifat wanita yang mulia:
i. Wanita yang tidak suka menuntut perkara-perkara yang akan membebankan suaminya
ii. Wanita yang tidak suka berhias untuk lelaki bukan muhrimnya
iii. Wanita yang menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela.
iv. Wanita yang tidak meninggikan suara melebih suara suaminya
v. Tidak keluar rumah tanpa izin suaminya
vi. Tidak membelanjakan harta suaminya tanpa izin suaminya
vii. Menjalankan kewajipan terhadap ajaran agama
viii. Tidak menuntut cerai atau talak.
ix. Tidak cepat cemburu pada sesuatu yang belum pasti.
x. Berbuat baik dalam menjalinkan hubungan dengan keluarga suami.
xi. Tahan menderita ketika suami ditimpa musibah. 



artikal asal- http://intan50.fotopages.com/?entry=733216

Tiada ulasan:

Catat Ulasan