Jumaat, 28 Januari 2011

Rencah Rumahtangga Bahagia


Kalau diibaratkan sebuah perniagaan, maka cinta suci merupakan modal asas 
paling utama dalam membina keluarga bahagia. Selagi cinta itu masih suci 
murni, selama itu nikmat berbulan madu terus dapat dikecapi sepanjang 
berumah tangga. Lebih-lebih lagi andainya dapat dilengkapi dengan 
rencah-rencah tambahan berikut : 

1. Puas Hati 
Terimalah pasangan anda dengan redha dan puas hati. Bersangka baiklah 
terhadap Allah s.w.t Maha suci yang telah menentukan jodoh kita. Jangan 
diungkit-ungkit kekurangan pasangan anda. Yakinlah bahawa tiap sesuatu itu 
sudah ditentukan oleh Allah dan mempunyai pelbagai hikmah yang 
kadang-kadang kita tidak faham. Rasulullah bersabda maksudnya: "Janganlah 
seorang lelaki mukmin membenci isterinya yang beriman. Bila ada perangai 
yang tidak disukai, dia pasti redha ( menyenangi) perangainya yang lain 
(kebaikan)". Kita sebagai hamba tidak berhak memprotes ketentuan Allah 
s.w.t. Apa sahaja yang datang kepada kita semuanya ada kebaikan di sisi 
Allah walaupun kelihatan negatif pada pandangan manusia. Apa yang lebih 
penting ialah bagaimana kita menangani sesuatu itu dan dapat pula dijadikan 
ibadah atau saluran medapat keampunan daripadaNya. 

2. Kenang Jasa, Lupakan Kejahatan. 
Sejarah yang agak popular ialah apabila ada seorang lelaki ingin menemui 
Khalifah Sayidina Umar al-Khattab r.a. Dia ingin mengadu tentang karenah 
isterinya. Sampai di halaman rumah dia terdengar suara rungutan isteri 
Khalifah Umar. Dia berhasrat membatalkan niat asalnya, namun terhenti 
apabila dia dipanggil oleh Umar. "Ada apa urusan engkau hendak menemui 
aku?" tanya Saiyidina Umar. Jawab lelaki itu, "aku bercadang hendak mengadu 
karenah isteri aku, tetapi aku terdengar tuan pun mengalami perkara yang 
sama, inikan pula aku rakyat biasa". Saiyidina Umar menjelaskan, "aku tetap 
bersabar dan berterima kasih kepadanya kerana dia banyak berbaut baik dan 
berjasa. Dai menjaga anak-anak aku memasak makanan untuk aku, membersihkan 
pakaian aku dan membuat urusan rumah bagi pihak aku". Manakala isteri pula 
perlu mengenang jasa dan kebaktian suami dalam pelbagai aspek - makan, 
minum, pakaian, tempat tinggal, perlindungan, didikan dan tunjuk ajar. 

3. Perkongsian 
Selain harta benda, ada aspek perkongsian yang tidak boleh diabaikan agar 
kehidupan suami isteri sentiasa meriah dan mesra walaupun telah meningkat 
usia. Perkongsian ini perlu dikekalkan hingga akhir hayat. 
a. Perkongsian fitrah 
Apa saja yang kita suka orang lain berbuat kepada kita, maka itu juga yang 
orang lain suka kita berbuat kepadanya. Oleh itu masing-masing mesti anda 
toleransi. Dengan sendirinya berlaku perkongsian. Maka kedua-dua pihak 
tidak terlalu menuntut hak masing-masing dan saling tuduh menuduh. 

b. Perkongsian emosi 
Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a. boleh saja mendakwa isterinya yang merungut 
itu tidak memahami perasaan suami. Dia juga boleh menuduh isterinya tidak 
wajar merungut kerana dirinya seorang khalifah yang memikul urusan umat. 
Dan dia juga boleh menuntut agar dirinya dilayani dan tidak perlu melayani 
karenah isterinya kerana dia seorang suami. Namun beliau memilih untuk 
menyebut kebaikan -kebaikan isterinya kerana dia sebenarnya berkongsi 
perasaan dengan isterinya. Beliau dapat merasakan keperitan dan kesusahan 
isteri. Tentulah tidak patut kegembiraan dikongsi, manakala penderitaan 
ditanggung sendirian. Suami tidak patut menuntut agar isteri memahami 
perasaannya sahaja dan begitu juga sebaliknya. Rumah tangga tidak ubah 
seperti pelayaran kapal di lautan. Tidak selamanya lautan tenang atau tidak 
selamanya bergelora. Dalam satu kapal mana mungkin tidak mengalami tenang 
dan gelora bersama. Ketika suami pulang dengan bahang kemarahan maka isteri 
letakkan dirinya sebagai air yang dingin, demikian sebaliknya. Suami 
keletihan dan kelesuan kerana urusan di luar rumah. Pada waktu yang sama 
isteri juga penat dengan urusan rumah dan anak-anak. Kalau demikian ertinya 
sama-sama keletihan atau sama-sama berkongsi kepenatan. Lantaran itulah 
Saiyidina Umar menunjukkan contoh betapa beliau memahami emosi isterinya. 
Suami sedia mendengar rintihan isteri dan berkongsi rasa. 

c. Perkongsian jiwa 
Rasulullah s.a.w masih mengenang dan menyebut nama Siti Khadijah walaupun 
isterinya sudah lama wafat. Di mana letaknya keistimewaan Siti Khadijah? 
Rasulullah s.a.w mengalami beban jiwa yang berat setelah menerima wahyu 
yang pertama. Bukankah baginda adalah seorang rasul yang Allah s.w.t 
bekalkan dengan jiwa yang kuat? Namun beban wahyu itu lebih berat 
berbanding kemampuan jiwanya. Siti Khadijah r.ha telah memberi 'input' yang 
besar kepada jiwa baginda sehingga baginda pulih seperti sediakala. Siti 
Khadijah yang memberi peransang, suntikan semangat dan pertolongan. Dalam 
konteks kehidupan Rasulullah s.a.w dan Siti Khadijah itu tentu ada proses 
timbal balik yang hebat antara keduanya. Tentulah tidak dinafikan peranan 
Rasulullah s.a.w sebagi seorang suami dalam mendidik Siti Khadijah sebagai 
isteri. Namun ada saat-saat tertentu yang sumbangan isteri tidak dinafikan 
begitu sahaja terutana dalam pengisian jiwa. Rasulullah s.a.w bersabda 
maksudnya: "Sesiapa berkahwin maka dia telah melindungi separuh agamanya. 
Oleh itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuh 
lagi." (Riwayat al-Hakim) Sabda Rasulullah ini membuktikan bahawa 
perkongsian jiwa itu sebenarnya memelihara sebahagian daripada agama. 
masing-masing sandar-menyandar, saling teguh-memperteguh, pendorong dan 
benteng kekuatan jiwa. 

"He encompasses all things in knowledge." 
(At-Talaq : 12) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan