Jumaat, 28 Januari 2011

Tazkirah Siri 2/Rejab 1431H-Pemburu dan Penggoda Cinta (Bahagian 2)

***Sambungan dari Bahagian 1***

Ibarat Permata

Jika isteri berjaya mengekalkan rasa malu, dia akan dapat mengekalkan sifat, kelakuan dan personaliti yang menarik perhatian suami. Dia akan dirindui bila jauh, akan disayangi bila dekat. Dia dilihat cantik sebelum begelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas itu. Sesungguhnya, malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti permata yang menjadi hiasan luaran.

Ya, seperti permata. Ia selalu disimpan di dalam bekas yang cantik. Diletakkan di dalam almari dan dikunci. Hanya sekali-sekala dibuka dan untuk orang tertentu sahaja. Permata tidak dipamerkan merata-rata atau dibiarkan terdedah sentiasa. Jika selalu terdedah, itu bukanlah permata, itu hanya kaca. Maka begitulah dengan malu. Ia akan mendorong si isteri mengekalkan keanggunan, perhiasan diri dan kejelitaannya.

Belajarlah daripada bulan mengambang. Bulan hanya mengambang sekali-sekala…Bulan tidak mengambang setiap malam…kerana dengan mengambang sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia tertunggu-tunggu. Begitulah isteri yang masih malu, suami akan jadi perindu.

Bagaimana pula gaya seorang perindu? Ah, memburu cinta perlu bergaya. Jika yang diburu itu indah, yang memburu itu juga akan memperindahkan diri. Kita tidak akan menyentuh permata dengan tangan yang kotor. Yang indah perlu disentuh dengan yang indah jua. Yang harum perlu ditatang dengan yang harum juga.

Jadi bagaimana? Ya, bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias, anda bagaimana? Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T dengan perut “boroi”, rambut kusut tak bersikat tetapi mengharap isteri tampil sebagai ratu untuk melayan kita? Maaf, kalau itulah “umpannya” anda akan dapat “ikan” yang begitu juga.

Hukum Pantulan, Hukum Tarikan

Ingat selalu hukum pantulan, apa yang kita berikan akan kita terima semula sebagai balasan. Jika buruk yang kita tampilkan, maka yabg buruk juga akan dating sebagai balasan. Begitulah juga dengan hukum tarikan, yang baik akan menarik yang baik, yang cantik akan menarik yang cantik.

Suami inginkan isteri berubah, tetapi kenapa anda masih berada ditakuk lama? Ingat, perubahan andalah yang akan mengubah orang lain. Ubahlah penampilan diri. Kalau isteri jadi penggoda, anda harus jadi pemikat. Bagaimana ya? Jangan tanya bagaimana, jika kita sudah ada kemahuan, kemahuan akan menyebabkan anda memperoleh pelbagai cara. Kata orang, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan.

Jadi tanyalah pada diri, mana minyak wangi yang menjadi daya pemikatisteri waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu? Mana wajah prihatin, muka simpati dan empati serta senyuman ikhlas ketika mula-mula bersama dulu? Carilah, kita tidak terlalu tua untuk itu. Apakah ada had usia untuk melakukan suatu kebaikan?

Usahakan semula segalanya dengan membina semula rasa malu. Dan ingat bahawa rasa malu itu ada kaitan dengan iman. Iman dan malu lazim-melazimi. Jika terangkat iman, terangkat juga rasa malu. Rasulallah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Apabila kau hilang malu lakukanlah segalanya.” (Riwayat Abu Daud, no.4799) maksudnya, apabila rasa malu hilang, kita tidak akan fakir haram dan halal lagi…semuanya dilanggar tanpa segan silu lagi.

Antara cirri-ciri isteri solehah ialah isteri yang mengekalkan rasa malunya terhadap suami sehingga hidung suami tidak mencium sesuatu yang busuk dan mata suami tidak akan terpandang sesuatu yang buruk padanya.

Ya, di antara perbezaan insane dengan haiwan-selain insane punya fikiran-adalah rasa malu. Malu itu sesuatu yang sangat berharga, ia adalah perhiasan di depan orang yang kita sayangi. Bahkan dalam Islam, malu dan iman sering disinonimkan. Ertinya, untuk mencari semula rasa malu yang dahulu, samalah seperti menyusur semula jalan iman. Jika kita temui iman, maka secara automatic akan ada rasa malu.

Rasulallah s.a.w sendiri sangat menghargai sifat malu. Sehinggakan Baginda akan berhias dan bersedia lebih daripada kebiasaanya apabila Sayidina Uthman dating menemuinya. Kenapa? Ini kerana Sayidina Uthman adalah seorang sahabat yang begitu terkenal dengan sopan santun dan malunya. Begitu Rasulallah s.a.w dengan sahabat-sahabatnya, apatah lagi dengan isteri-isterinya. Dan malu itulah yang menyuburkan cinta dalam hati lalu membungakan perlakuan, belaian dan kata-kata yang menyenangkan.

Siapakah insane terbaik ketika bergaul dengan pasangannya kalau bukan Nabi Muhammad s.a.w? Dan antara rahsia keunggulan ini ialah Rasulallah sentiasa mengealkan rasa malunya ketika berdepan dengan isteri-isterinya. Inilah malu yang bertempat dan tepat pula masanya.

Malah Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan: “Sungguh, Rasulallah s.a.w lebih pemalu daripada seorang gadis yang berada di tempat pingitannya. Jika beliau tidak senang kerana sesuatu, maka kami akan tahu daripada raut wajah Baginda.” (Riwayat al-Bukhari no.3369, Muslim no.6176 dan lain-lain)

Justeru, suburkanlah rasa cinta dalam rumah tangga dengan menanam bibit-bibit malu…tanpa jemu. Selalu!

***TAMAT***

Karya: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Ruangan Soal Cinta, m/s 48&49, Majalah Solusi Isu No.20
Maklumat lanjut Majalah Solusi sila rujuk: 
http://www.facebook.com/photo.php?pid=31347244&l=e37470055b&id=1127978616

Tiada ulasan:

Catat Ulasan