Jumaat, 28 Januari 2011

ISLAM PERINTAHKAN SUAMI SABAR TANGANI KARENAH ISTERI

Prof Madya Maznah Daud

SIFAT pengasih dan penyayang Allah adalah sifat yang pertama sekali ditonjolkan dalam al-Quran iaitu melalui ayat pertama yang bermaksud: "Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."
Senarai Asma-ul-Husna yang mengandungi 99 nama-Nya yang indah itu juga dimulai dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim (Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang).
Bertolak daripada sifat-Nya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itu, Allah memerintahkan sekalian hamba-Nya supaya kasih mengasihi antara satu sama lain. Seseorang hamba hanya akan memperoleh kasih sayang Allah apabila dia mengasihi makhluk-Nya.
Jika ada dua sahabat berkasih sayang antara satu sama lain, maka yang lebih disayangi Allah antara kedua-duanya ialah yang paling kasih kepada sahabatnya.
Manusia yang memiliki sifat kasih sayang yang paling tinggi dan agung ialah Rasulullah saw.
Baginda sangat mengasihi umatnya hingga perasaan kasihnya yang amat mendalam itu dirakamkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman." (Surah at-Taubah, ayat 128)
Kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati serta sedia berkorban demi kebahagiaan insan tersayang.
Kedamaian dan kasih sayang adalah teras paling utama dalam hubungan suami isteri.
Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.
Lantaran, Allah menjadikan perasaan kasih mesra antara suami dan isteri sebagai satu sunnah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan. Ini seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21).
Justeru, Rasulullah sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya.
Baginda menegaskan bahawa "suami yang terbaik itu ialah yang berlaku baik terhadap isterinya." (Maksud hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi)
Dalam hadis lain pula, Baginda berpesan kepada suami dengan sabdanya yang bermaksud: "Hendaklah kamu ingat memperingati supaya berbuat baik kepada wanita (isteri). Sesungguhnya mereka adalah seperti tawanan di sisi kamu.
"Kamu tidak memiliki apa-apa pun daripada mereka, kecuali hak untuk menikmati hubungan kelamin antara kamu berdua. Tetapi, apabila isteri kamu melakukan kejahatan yang nyata, maka tinggalkan tempat tidur mereka dan pukul mereka dengan cara yang tidak terlalu menyakitkan.
"Jika mereka kembali taat kepadamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyakitkan mereka.
"Ingatlah bahawa kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan isteri kamu juga ada hak ke atas kamu. Hak kamu adalah tidak membenarkan mana-mana lelaki tidur di atas tilam kamu dan tidak mengizinkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki rumah kamu.
"Adapun hak isteri ke atas kamu adalah kamu memberi yang terbaik kepada mereka pakaian dan makanan mereka". (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Hadis ini dengan tegas menyatakan bahawa meskipun kehidupan isteri terikat dengan suami laksana seorang tawanan, namun mereka tidak boleh dianggap sebagai hamba yang boleh diperlakukan sesuka hati.
Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan sebaik-baiknya.
Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah mengadu mengenai layanan buruk yang diterima daripada suami mereka.
Apabila Rasulullah mengetahuinya, Baginda pun bersabda maksudnya: "Sesungguhnya ramai wanita datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).
Tidak dapat dinafikan, sebagai manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami.
Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak membesar-besarkan kelemahan itu.
Firman Allah bermaksud: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu." (Surah an-Nisa, ayat 19).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun."
Sebagai kesimpulan, sama-sama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar.
Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.
Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?"
Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.
Lelaki itu berkata: "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: ‘Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"
Umar berkata kepadanya: "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku.
"Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya.
"Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya."
Lelaki itu menjawab: "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku."
Umar pun berkata kepadanya: "Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja."
PENULIS ialah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi di alamat wanitajim0@yahoo.com atau www.wanitajimceria.blogspot.com

http://wadahwanita.blogspot.com/2004/08/islam-perintahkan-suami-sabar-tangani.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan