Jumaat, 28 Januari 2011

Tazkirah Siri 1/Rejab 1421H-Pemburu dan Penggoda Cinta (Bahagian 1)

Kadangkala hati tertanya-tanya juga, kenapa cinta selepas kahwin (yang usianya bertahun-tahun) tidak sehangat dulu. Dulu, berpisah terasa rindu…tetapi kini lain sekali. Walaupun masih ada rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu. Rindu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!
Apabila berjauhan, ada juga berkirim SMS tetapi tidaklah sekerap dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta berbunga-bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu, Ah, biasa-biasa sahaja.
Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah? Tetapi apabila ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit. Kata orang tua-tua dahulu, apabila jauh (masih belum dimiliki) berbau bunga, apabila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada lagi. Ah, begitukah adapt dunia?
Kata sesetengah lelaki (entah spesies mana), wanita kelihatan cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri, kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu, rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas. Melayan nafsu bagai meminum air laut, semakin diminumsemakin haus.
Kata orang itulah sebabnya lelaki berpoligami. Dia tidak cukup dengan satu. Hujah itu salah sama sekali. Jika lelaki itu rakus nafsu, bukan setakat dua, tiga dan empat, bahkan lima, enam, tujuh wanita sekalipun dia tidak akan pernah puas. Lihat sahaja Tiger Woods yang mengaku berselingkuh dengan 120 wanita! Poligami bukan untuk meladeni (melayan) nafsu lelaki ini, tetapi kerana ada hikmah lain yang lebih murni.

Dulu Lain Sekarang Lain 

Kita tinggalkan lelaki yang bersifat “jantan” itu. Mari kita bicarakan soal wanita pula. Wanita yang telah menjadi isteri pun ada salahnya. Selepas bergelar isteri, semuanya menjadi terlalu “murah”. Tidak lagi semahal seperti sebelum kahwin dulu. Malunya sudah kurang. Tidak pandai “jual mahal” untuk mendapat perhatian suami.
Jika dulu puas berlangir, berbedak, berhias sebelum bertemu suami, setelah berkahwin lain pula ceritanya. Bau badan tidak dijaga dan asyik “mendedah aurat” (maksudnya berpakaian tidak sempurna) tanpa mengira masa dan tempat. Apabila setiap masa terdedah, di mana indahnya? Ingat selalu, seni memikat hati suami. Apa salahnya menggoda suami sendiri? 
Kalau dahulu suapan makanan pun dijaga, dibuat penuh tertib dan kecil-kecil. Mengunyah makanan pun tidak kedengaran bunyinya. Sungguh sopan, persis gadis pingitan. Maaf, lepas beberapa bulan berkahwin, kesopanan dan ketertiban itu semakin berkurang. Cara duduk tidak dijaga lagi. Menguap tanpa menutup mulut. Suaranya…tidak semerdu, ketawa, ha..ha..ha..berdekah-dekah. Mana hilang sifat malunya?
Jangan terkejut jika kita “menjual” terlalu murah, orang akan meragui kualitinya. Suami akan berhenti “memburu” anda jika anda terlalu jinak dan murah. Ini bukan bermaksud untuk mendorong anda menjadi terlalu liar atau menjual terlalu mahal…tetapi belajarlah malu-malu seperti mula-mula kahwin dulu. Insya-Allah, suami anda akan menjadi pemburu yang merancang seribu satu taktik dan strategi untuk memikat dan mendapatkan kasih saying anda. Biarlah dia menjadi pemburu cintamu!.... ***(bersambung dalam bahagian 2 Siri akan datang)

Karya: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Ruangan Soal Cinta, m/s 48&49, Majalah Solusi Isu No.20
Maklumat lanjut Majalah Solusi sila rujuk: 
http://www.facebook.com/photo.php?pid=31273483&l=29004e5470&id=1127978616 



Maklumat lanjut Majalah Solusi sila rujuk: http://www.facebook.com/photo.php?pid=31273483&l=29004e5470&id=1127978616

Tiada ulasan:

Catat Ulasan