Khamis, 24 Februari 2011

Hak Wanita: Antara Hukum Tuhan dan Pelaksanaan Insan

by Realiti Alam Perkahwinan on Thursday, February 24, 2011 at 8:44am

Hak Wanita: Antara Hukum Tuhan dan Pelaksanaan Insan

Namun kedatangan Nabi s.a.w. adalah rahmat bagi wanita. Baginda telah membela dan mempertahankan hak mereka. Bayangkan, dalam keadaan dunia sekeliling menafikan hak-hak wanita dan mempersendakannya, tiba-tiba insan yang bernama Muhammad bin Abdillah bangun dengan perintah wahyu membela hak mereka.

Islam telah mencatatkan di dada sejarah bahawa dirinya adalah pembela agung wanita yang tiada tolok bandingnya. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jikapun ada pembelaan hak mereka adalah atas ihsan dan simpati lelaki semata. Bahkan dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya dari lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan. Sementara masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu lebih dahsyat membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut: “Dari segi sejarahnya, Islam telah lama begitu terbuka dan progresif dalam memberikan hak pemilikan harta untuk kaum wanita. Suatu hakikat yang pasti bahawa tiada hak pemilikan harta yang diberikan kepada wanita Hindu sehinggalah tahun 1956. Ini apabila Hindu Code Bill dihapuskan. Sedangkan Islam telah pun memberikan hak-hak ini kepada wanita Muslim sejak seribu empat ratus tahun yang lampau. (Wahidudin Khan, Women Between Islam and Western Society, hlm. 46.)

Namun kedatangan Nabi s.a.w. adalah rahmat bagi wanita. Baginda telah membela dan mempertahankan hak mereka. Bayangkan, dalam keadaan dunia sekeliling menafikan hak-hak wanita dan mempersendakannya, tiba-tiba insan yang bernama Muhammad bin Abdillah bangun dengan perintah wahyu membela hak mereka. Hadis-hadis Nabi yang membela dan mempertahankan wanita begitu banyak dan jelas, antaranya daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027).

Daripada Ibn Abbas, seorang gadis dara datang kepada Nabi memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka dalam Sahih al-Bukhari, ada bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).

Namun masyarakat Melayu dahulu, apabila begitu terikat dengan mazhab al-Imam al-Syafii maka mereka membiarkan bapa memaksa anak-anak perempuan berkahwin dengan pilihan bapa sekalipun dibantah oleh anaknya atas alasan bapa wali mujbir. Mereka tidak bersikap terbuka menyemak dalil dan mengambil manfaat daripada para sarjana Islam yang lain. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Siapa tahu, jika al-Syafii hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika al-Syafii melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al- Mu‘asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha). Namun paksaan seperti itu sudah jarang kedengaran lagi. Masyarakat berubah, pandangan mazhab sudah tidak relevan lagi dalam bab tersebut. Mengambil manfaat dari pendapat lain adalah satu keperluan.

Hak wanita
Di sana begitu banyak nas-nas sama ada dari al-Quran atau al-Sunah yang membela hak wanita. Namun adalah mengejutkan, setelah keadilan gender ini ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, tiba-tiba kita sering mendengar aduan atau rasa tidak puas hati wanita Islam yang berleluasa terhadap Mahkamah Syariah atau pejabat agama. Sehingga ada wanita yang memberitahu bahawa antara sebab beliau ingin keluar agama adalah layanan agama yang diberikan kepadanya. Setiap kali beliau mengangkat kes tentang kezaliman suami kepadanya, beliau diberi nasihat agar bersabar, Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. 

Sedangkan dirinya semakin hari semakin menjadi mangsa. Bahkan ada yang lebam-lebam matanya, masih disuruh bersabar. Tidak pula ‘pasukan gerak khas’ antimaksiat bertindak pantas mencegah kemungkaran suami yang menyeksa isteri, sepantas pencegahan khalwat yang terpaksa mengintip dengan penuh kesabaran. Sedangkan perbuatan memukul isteri secara zalim ini adalah mungkar yang nyata.

Ada wanita yang memaklumkan kepada saya bahawa mereka takut hendak ke pejabat-pejabat agama, nanti akan berhadapan dengan pengurusan yang ‘tidak mesra’. Sama ada dakwaan itu palsu atau benar, saya tidak pasti. Namun dakwaan seperti itu sering sahaja kedengaran. Apa pun halnya, yang penting penghormatan kepada kaum wanita dan memberikan layanan yang baik kepada mereka adalah ajaran Islam yang agung ini. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri: Wanita-wanita berkata kepada Nabi: “Kaum lelaki telah mendapat engkau melebihi kami. Jadikanlah satu hari engkau untuk kami. (Baginda pun lakukan) maka baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka (memberitahu suruhan agama). Antara yang baginda sebut kepada mereka, Tidak ada di kalangan kamu yang mendahulu tiga orang anaknya (meninggal semasa hayatnya) melainkan ia menjadi dinding dari api neraka. Tanya seorang wanita: “Dua orang anak?” Jawab baginda: (Ya) dua orang anak juga.

Baginda dalam hadis ini memberikan kesempatan untuk golongan wanita belajar dan membuat peruntukan khas dari baginda apabila didapati kaum lelaki telah mendominasi mereka sehingga mereka tidak mempunyai kesempatan yang cukup.


Kes-kes isu talak yang tertangguh perbicaraannya sampai bertahun-tahun masih berterusan kita dengar sehingga hari ini. Walau apa pun alasan yang cuba diberikan oleh Mahkamah Syariah, ia pada hakikatnya tidak lebih dari kezaliman terhadap wanita. Sama ada disebabkan kongkongan kesempitan pemikiran hukum atau pengurusan yang kurang kualiti atau tenaga yang dibekalkan tidak mencukupi. Sehingga kadangkala susah benar nampaknya untuk dipisahkan isteri daripada suaminya sekalipun ternyata kemudaratan telah berlaku. Padahal pada zaman Nabi isteri Thabit bin Qais datang menemui Nabi lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka Rasulullah pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari).

Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang mentafsir bermaksud terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H): “Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: 229. Jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

Allah dan Rasul-Nya mengharamkan talak bid‘i iaitu mentalak isteri ketika haid atau ketika suci tapi telah disetubuhi. Tujuannya untuk meringankan bebanan tempoh edah ke atas isteri. Hikmahnya mungkin agar tidak lama isteri menunggu edah iaitu tidak lebih dari tiga kali suci juga tidak terdedah kepada risiko hamil. Tujuan dan maksud hukum-hakam Allah dan Rasul- Nya amat kudus dan mulia. Mana mungkin pengurusan syariah seperti Mahkamah Syariah dan jabatan agama yang ditubuhkan untuk mencapai kemurnian hasrat syarak tiba-tiba menjadi faktor yang membantutkannya. Ini seperti penangguhan kes-kes talak yang begitu lama. Tidak syak ia adalah satu kezaliman terhadap wanita.

Lebih malang lagi, wajah Islam yang mulia ini terguris apabila ada ‘ustazah tv’ yang sanggup membawa cerita palsu bahawa wanita yang terbaik pada zaman Nabi ialah seorang wanita yang setiap hari menunggu suaminya pulang kerja dengan menyediakan makanan dan rotan. Jika suaminya mahu, suami dipersilakan merotankan dirinya walaupun tanpa sebab. Kisah yang seperti ini di samping tidak berasas, ia hanya memalukan agama yang agung ini. Ini masalah stesen televisyen jika hanya mementing orang yang ‘pandai cakap’ bukan ketepatan fakta. Akhirnya kesucian Islam menjadi mangsa.

Di samping itu saya juga suka mengingatkan kepada para pejuang hak wanita atau hak-hak yang lain tentang keseimbangan Islam ini. Al-Tawazun atau al-Wasatiyyah merupakan salah satu ciri-ciri perundangan Islam yang istimewa. Ia bermaksud pertengahan di antara dua keadaan atau pihak. Di mana ketika Islam membela kepentingan satu pihak tidak menyebabkan dicuaikan kepentingan pihak yang lain. Dalam konteks ini, kita maksudkan bahawa pembelaan Islam terhadap hak kaum wanita tidak menyebabkan dipinggirkan atau diabaikan kepentingan dan hak kaum lelaki. Pembelaan Islam terhadap hak isteri umpamanya, tidak menyebabkan diabaikan hak suami. Pembelaan hak ibu, tidak menyebabkan dialpakan hak seorang bapa. Pembelaan hak anak perempuan tidak menyebabkan disia-siakan hak seorang ayah dan ibu. Begitulah seterusnya. Malangnya, kadang-kadang pembelaan hak-hak kaum wanita yang dilakukan oleh sesetengah pihak tanpa merujuk dan mengikuti nas- nas Islam secara menyeluruh sehingga boleh menyebabkan ketidak seimbangan. Mereka ini kerana terlalu ingin membela kaum wanita sehingga melupai hak kaum lelaki. Hal ini berbeza dengan Nabi ketika membela hak kaum wanita, juga mengimbanginya dengan hak kaum lelaki.

Hak Muslim
Demikian juga apabila kita membela hak Muslim, kita jangan terlalu emosi sehingga menzalimi bukan Muslim. Islam itu adil untuk semua. Begitu juga yang begitu ingin membela hak rakyat sehingga melupai hak pemerintah untuk dihormati dan tidak dimaki. Atau jangan sibuk membela hak pemerintah lalu diketepikan hak rakyat sehingga mereka tertindas. Renungilah kata-kata tokoh sarjana agung umat ini Syeikh al- Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama).” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, jld 2/hlm. 236).

Dalam kisah Abu Darda yang tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: “Sesunguhnya untuk Tuhanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu, untuk badanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu dan untuk isterimu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu. Berikan kepada setiap yang berhak haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, baginda berkata: Benarlah Salman (Riwayat al-Bukhari).

Pembelaan hak yang tidak seimbang, menghilang kecantikan susunan masyarakat dan keindahan ajaran yang suci ini.


Sumber: Dr.Maza

Tiada ulasan:

Catat Ulasan