DI KALANGAN orang Melayu masalah tekanan perasaan dalam atau selepas pantang disebut ‘gila meroyan’ dan kerap kali dikaitkan dengan masalah gangguan makhluk halus atau melanggar pantang.
Dari sudut perubatan, gila meroyan sebenarnya lebih kepada masalah tekanan perasaan, keletihan dan gangguan emosi kerana tidak mendapat kerjasama dan persefahaman terutama daripada suami dan ahli keluarga.
Gila meroyan atau nama saintifiknya ‘postpartum psychosis’ mula dikenal pasti pada 1850. Ia adalah masalah mental yang serius dan memerlukan rawatan. Sejak dikenal pasti seabad lalu, jumlah wanita yang mengalaminya tidak pernah berubah.
Penyakit ini terjadi satu dalam 1,000 kes wanita yang melahirkan anak atau 0.1 peratus saja. Postpartum psychosis ini selalu disalah tafsir sebagai postpartum depression, satu lagi jenis masalah mental wanita ketika dalam pantang.
Pensyarah dan Pakar Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ahmad Hatim Sulaiman, berkata masalah tekanan perasaan yang dihadapi wanita selepas bersalin ada tiga peringkat.
“Hampir 40-50 peratus daripada wanita yang bersalin akan mengalami masalah tekanan perasaan peringkat pertama dikenali sebagai ‘postpartum blues’. Ia masalah tekanan perasaan yang ‘mild’ dan biasanya akan sembuh sendiri.
“Gila meroyan adalah masalah tekanan perasaan sama ada peringkat pertama, kedua atau ketiga boleh dialami semua wanita tanpa mengira bangsa. Dalam sesetengah kes, wanita yang mengalami gila meroyan tidak pernah mengalami sebarang perubahan mood sebelum hamil.
“Gila meroyan boleh terjadi seawal dua minggu selepas melahirkan. Ia boleh menyebabkan wanita sentiasa paranoid dan berhalusinasi. Selain itu dia akan hilang selera dan sukar tidur malam.
Sesuatu yang paling ketara dia akan kerap menangis, berasa keseorangan dan malu dengan masalah yang dihadapinya,” katanya.
Wanita yang menghadapi penyakit ini, kata Dr Ahmad Hatim, sangat berbahaya jika dibiarkan sendirian tanpa pengawasan. Ini kerana mereka berupaya membunuh anak sendiri kerana selalu merasakan anak itu bukan anaknya.
Selain itu dia juga berupaya mencederakan diri atau membunuh diri. Pada peringkat ini, rawatan sangat diperlukan.
“Rawatan boleh menjamin wanita gila meroyan untuk sembuh 100 peratus.
Tetapi ia tidak boleh menjamin kes berulang pada kehamilan akan datang,” katanya.
Masalah tekanan perasaan ketika dalam pantang berbeza dengan masalah tekanan perasaan yang dialami orang lain. Ia tidak sama dengan skizofrenia, kemurungan atau tekanan perasaan.
Masalah tekanan perasaan dalam pantang hanya dialami wanita dalam pantang dan selepas sembuh dia tidak akan mengalaminya lagi hinggalah pada kehamilan berikutnya jika dia tidak bernasib baik.
Sesuatu yang perlu anda tahu juga, gila meroyan juga boleh dikaitkan dengan faktor genetik walaupun ia bukan kemestian. Jika wanita itu secara peribadi pernah berhadapan dengan masalah kemurungan, skizofrenia sebelum hamil, ia mungkin akan meningkatkan lagi risiko mengalami gila meroyan.
Jika tidak pernah mengalami perubahan mood, tetapi ada ahli keluarga yang pernah berhadapan dengan gila meroyan, risiko untuknya tetap tinggi untuk dia mengalaminya.
Selain itu masalah yang dihadapi sepanjang kehamilan seperti masalah rumah tangga, kewangan atau tekanan kerja di pejabat boleh menyumbang kepada faktor terjadinya tekanan perasaan.
“Kadang kala wanita mengalami masalah tekanan selepas habis pantang. Kes begini membabitkan wanita bekerjaya. Balik ke pejabat, kerjanya bertimbun, di rumah anaknya asyik menangis, suami pula tidak langsung membantu memang ia akan membuatkan wanita itu tertekan,” kata Dr Abdul Hatim.
Katanya, wanita dalam pantang seharusnya pandai mengawal emosi.
Selain itu penjagaan makanan seperti pengambilan makanan berprotein tinggi bagus untuk menambah darah dan mengembalikan kecergasan tubuh.
“Dalam dunia perubatan moden, tidak ada istilah makanan sejuk atau panas. Semuanya boleh dimakan.
Wanita seharusnya menikmati makanan yang boleh memberi tenaga. Apatah lagi mereka penat selepas bertarung berjam-jam untuk melahirkan bayi selain terpaksa pula menyusukan bayi,” katanya.
Berurut, jaga makan ketika berpantang
SEORANG pengamal perubatan tradisional, Siti Rosemynah Othman, berkata kebanyakan wanita yang menghadapi masalah gila meroyan berpunca daripada keletihan dan tidak menjaga pantang.
Beliau berkata, penyakit ini memang biasa terjadi di kalangan ibu selepas bersalin jika mereka tidak dapat mengawal perasaan dan mengawal keadaan keliling.
“Bayangkan apabila bersalin kita bertarung berjam-jam untuk melahirkan satu nyawa ke dunia. Apabila badan letih, ditambah dengan tidak menjaga pemakanan sewaktu pantang, anak pula menangis tidak henti-henti, malam terpaksa berjaga kerana anak hendak menyusu, suami pula tidak membantu, memang seseorang itu tertekan,” katanya.
Gila meroyan tidak semestinya terjadi sebaik melahirkan anak tetapi mungkin beberapa hari atau beberapa minggu selepas itu. Malah gila meroyan juga boleh berlaku antara tiga hingga enam bulan selepas pantang.
“Ada dua jenis gila meroyan iaitu meroyan besar dan meroyan kecil.
Meroyan besar dikenali juga sebagai ‘depression’ dalam bahasa perubatan moden. Biasanya wanita yang mengalami meroyan besar tidak mengenali diri dan ahli keluarganya. Dia selalu merasakan anak yang dilahirkannya bukan anaknya,” kata Rosemynah.
Dalam keadaan itu, tidak mustahil si ibu sanggup membunuh anak sendiri!
Meroyan kecil pula, kata Rosemynah, membabitkan tekanan perasaan yang kecil misalnya dia berasa sedih dan menangis.
“Dalam dunia perubatan tradisional, kita juga percaya meroyan ini disebabkan makhluk halus. Darah yang keluar itu memang sangat disukai makhluk begini. Sebab itu ibu dalam pantang harus membasuhnya sebersih mungkin. Jika tidak makhluk halus suka pada darah itu,” katanya.
Katanya, dalam tempoh berpantang perkara paling penting selain menjaga pemakanan adalah berurut.
“Urut badan penting kerana ia memberi tubuh keselesaan. Wanita berpantang juga jangan abaikan pengambilan ubat-ubatan tradisional. Jangan pandang ringan segala pantang larang ketika berpantang. Kesannya mungkin tidak nampak sekarang tetapi dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan