Rabu, 2 Februari 2011

Kelebihan Dan Tips Untuk Bangkit di Awal Pagi

Tatkala mentari mula meninggi, masih ada yang diuliti mimpi. Ditariknya selimut menutupi wajah apabila cahaya sang mentari itu tadi menyentuh kulit mukanya.

Jam loceng yang memanggil-manggil dari tadi ditekan suisnya, agar tiada lagi bunyi yang membingitkan. Alangkah sukarnya untuk diri ini bangun.

Terasa betapa beratnya untuk bangun berdiri. Terasa begitu susahnya untuk membuka mata, seseolah ada sesuatu di kelopak mata yang menghalang.

Tidak ramai yang mampu bangkit di awal pagi, sebelum azan Subuh berkumandang dan sebelum si mentari bangkit di ufuk Timur. Ramai yang masih selesa di katil sedangkan begitu banyak manfaat yang boleh diperolehi di awal pagi.

Ketenangan jelas terasa apabila si fajar kekuningan di langit. Awal pagi adalah sangat produktif buat insan. Tanpa bunyi yang membingitkan dan tanpa gangguan dari persekitaran.

Minda juga terasa segar jika dibandingkan dengan waktu yang lain. Menghirup udara yang bersih, segar dan dinginnya juga mampu menyegarkan badan.
Andai sudah berkeluarga, waktu awal pagi adalah sangat baik untuk melakukan kerja tanpa gangguan si kecil. Oleh itu, hasil kerja pasti memuaskan hati kerana fokus yang tinggi.

Di awal pagi juga adalah waktu yang baik untuk melakukan perancangan untuk sepanjang hari. Dengan itu, dapatlah menentukan matlamat yang ingin dicapai pada hari tersebut dan rangka kerja yang perlu dilakukan, agar semuanya dapat berjalan dengan lancar.
Dengan bangkit di awal pagi juga, kita akan mempunyai masa yang lebih untuk melakukan hobi dan kerja-kerja yang digemari selain bidang kerja.

Sebagai contoh, seorang guru boleh menulis untuk menghasilkan buku di awal pagi sebelum bertolak ke sekolah untuk mengajar. Kelak, apabila buku itu sudah siap, bolehlah buku itu diterbitkan dan dipasarkan kelak, sekaligus menjana pendapatan sampingan.

Masa itu juga boleh digunakan untuk bersenam. Menghirup udara yang segar di pagi hari sewaktu bersenam boleh menyegarkan dan mengekalkan kesihatan badan.

Bangkit di awal pagi juga memberikan permulaan hari yang hebat. Ia seseolah menyapa hari yang mendatang dan memberi motivasi minda, sekaligus memulakan hari dengan minda yang positif.

Membuka mata apabila cahaya matahari telah terik boleh menyebabkan minda menjadi huru-hara. Perasaan menyesal juga boleh menyelimuti diri sekiranya ada kerja yang tidak diselesaikan kerana terlalu asyik menyambung mimpi.

Bangun sebelum matahari terbit juga dapat memberi peluang untuk diri menikmati begitu indahnya saat matahari terbit. Meyaksikan begitu hebatnya kekuasaan Tuhan boleh memberi keinsafan dalam diri, lantas menyebabkan diri berzikir kepada Allah yang satu.
Bagi yang beragama Islam, bangkit di awal pagi juga memberi peluang kepada diri untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan bertahajud.

" Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." (Al-Isra' – 79)

Dengan itu, dapatlah diri mengaut pahala sebanyak mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah untuk menanam semata-mata, dan hasilnya akan dituai di akhirat kelak.

Namun, hakikatnya adalah sukar untuk melakukan rutin sedemikian bagi mereka yang sudah menjadi kebiasaannya untuk bangun saat mentari telah muncul. 
Tetapi, bagi setiap permasalahan itu pasti ada penyelesaiannya. Walaupun sukar pada awalnya, namun sekiranya diusahakan, pasti akan menjadi tabiat harian.

Lakukanlah secara berjadual dan bukannya drastik. Sebagai contoh, bangunlah awal 15 minit dari kebiasaannya sebagai permulaan. Apabila sudah biasa, awalkan lagi 15 minit dan ulangi langkah sama sehingga mencapai matlamat yang diinginkan.

Perbetulkan juga waktu tidur andai tidur lewat menjadi kebiasaan sehingga menyebabkan bangun lewat. Sekiranya tidur lambat untuk melakukan kerja, cuba peruntukkan waktu di awal pagi untuk melakukan kerja-kerja yang tertangguh itu.

Hasil kerja di awal pagi dan lewat malam adalah sangat berbeza. Apabila tiba waktu malam, badan dan minda sudah keletihan kerana sudah banyak dialirkan di siang hari, sekaligus boleh menganggu kualiti kerja.
Nikmatilah malam sebagai waktu untuk tidur dan rehatlah secukupnya dan bangunlah awal pagi untuk menghadapi hari yang mendatang.

Namun, ia bergantung juga kepada jenis kerja yang dilakukan. Andai kualiti kerja itu terbaik pada waktu malam, lakukanlah pada waktu malam namun jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk bangun lewat.

Letakkan jarak jam loceng yang digunakan untuk membangunkan anda di awal pagi agak jauh dari katil anda. 


Tindakan ini akan memaksa badan anda untuk bangun sewaktu ingin menutup suis jam loceng tersebut tatkala ia berdering.

Selepas itu, bangun dan keluarlah dari bilik tidur. Kecenderungan untuk menyambung tidur adalah tinggi apabila anda terus berada di bilik tidur selepas bangun.

Lakukanlah sesuatu yang menyegarkan badan seperti menggosok gigi atau mungkin juga menyediakan kopi untuk diri sendiri dan keluarga bagi menyegarkan badan di pagi hari.

Bagi yang beragama Islam pula, adalah amat disarankan untuk mengambil wuduk dan berdoa sebelum tidur bagi mengelak daripada gangguan syaitan yang gemar menguliti mimpi manusia.

Menyedari akan kepentingan bangun awal untuk menunaikan solat Subuh juga membantu. Ini akan menyebabkan minda menetapkan agar bangun awal supaya menunaikan kewajipan sebagai umat Islam.

Kebanyakan mereka yang berjaya juga sanggup mengorbankan tidur yang berlebihan dan keluar dari zon selesa demi mencapai kejayaan.

Irfan Khairi, jutawan muda Malaysia, menyatakan bahawa dia tidur 3 hingga 4 jam sehari demi mengejar kejayaan di dalam bukunya yang bertajuk ‘Nota Jutawan Nota Motivasi’.

Amatlah rugi bagi insan yang mensia-siakan waktu pagi sedangkan begitu banyak manfaat yang dapat dikutip sementara menunggu mentari menyinar. Gunakanlah setiap saat yang ada untuk memajukan diri, agar dapat anda mengutip kejayaan kelak. Wallahua'lam. Selamat Berjaya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan