Ha... tentu anda tercari-cari sesuatu yang istimewa untuk dihadiahkan kepada mereka yang paling anda sayang. Anda terfikir untuk berikan bunga kepada si dia? Atau... berikan sahaja sekotak cokelat berjenama? Erm... Atau... teddy bear? Atau anda sememangnya tidak nampak hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada pasangan anda. Bawa bertenang...
Tentunya anda ingin pasangan anda menghargai apa jua hadiah yang diberikan kepadanya. Perkara asas yang perlu diambilkira ialah sifat pasangan anda. Jika anda benar-benar pasti sifat pasangan anda, maka berikan hadiah yang mencerminkan peribadinya.
Bunga ros merah - bunga ros merah sesuai diberikan kepada kaum Hawa. Bagi penggemar bunga, mereka tidak kisah dan tetap akan menjaga bunga tersebut, biarpun ia telah layu. Bagi mereka yang kreatif, bunga ini akan dihiaskan atau digubah di dalam pasu. Mereka ini seorang yang prihatin dan amat menghargai pasangan mereka.
Cokelat dan anak patung (teddy bear) - mereka yang sukakan cokelat dan teddy bear seorang yang bersifat keanak-anakan. Jangan pelik bukan perempuan sahaja yang sukakan cokelat, lelaki juga ada yang menggemarinya. Mereka yang manja dan suka merajuk, amat bersesuaian jika diberikan cokelat. Mesti rajuk mereka akan cepat reda, apabila dihadiahkan cokelat kesukaannya.
Kad - mereka yang bersifat tegas, berpendirian tetap dan berdisplin, sesuai diberikan sekeping kad yang romantik. Mereka jenis ini tidak sukakan hadiah-hadiah yang remeh-temeh. Bagi mereka yang tegas, kad merupakan hadiah yang paling istimewa, lebih-lebih lagi anda meluahkan perasaan anda dengan kata-kata yang romantik. Jangan salah anggap biarpun mereka tegas, mereka tetap mempunyai sifat yang sentimental. Dan jangan terkejut mereka akan menyimpan kad-kad tersebut dengan baik di tempat khas dan istimewa.
Barangan berbentuk hati (love) - barangan yang berbentuk hati, sesuai bagi mereka yang bersifat penyayang. Mereka yang penyayang akan mudah tertarik dengan barangan sedemikian. Bagi mereka, dengan melihat 'hati', mereka akan terasa tenang dan gembira.
Kaset atau CD lagu-lagu cinta dan sentimental - mereka yang berjiwa seni dan sentimental amat menghargai mereka yang sudi menghadiahkan sesuatu yang memberikan ketenangan. Lagu-lagu cinta tersebut seolah-olah memberikan gambaran kepada mereka akan perasaan anda kepadanya. Ha... bagi mereka yang sukar meluahkan perasaan cinta kepada pasangan anda, hadiahkanlah kaset cinta kepadanya. Pasti si dia menyukainya.
Makan malam (candlelight dinner) - haa... majlis seumpama ini sesuai bagi mereka yang bersifat romantik. Mengadakan temujanji dengan mereka yang tersayang pada majlis makan malam memberikan kepuasan, bukan sahaja kepada pasangan anda, malah diri anda sendiri. Diserikan pula dengan nyalaan lilin yang bisa membangkitkan suasana romantik.
Ha... mudahkan. Jadi kenalpasti sifat pasangan anda dan hadiahkan sesuatu yang istimewa kepadanya. Tentu si dia akan rasa terharu dan semakin sayang pada anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan